Tazkirah JUMAAT | Besarkah Nilai Pengorbanan ISTERI?
Besar atau kecilnya nilai sesuatu itu selalunya akan terasa bila ia hilang atau sudah tiada...
Dengan sekian banyak perkara yang isteri lakukan untuk suami, sepatutnya suami adalah orang yang paling tahu dan paling faham akan pengorbanan isterinya. Malah bukan sekadar faham, tetapi juga paling banyak memberi penghargaan kepada isteri atas segala pengorbanan si isteri.
Bagaimana hendak mengukur besarnya nilai pengorbanan isteri? Bagaimana pengorbanan isteri ini hendak dirasakan oleh suami sebagai pengorbanan? Besar atau kecilnya nilai sesuatu itu selalunya akan terasa bila ia hilang atau sudah tiada. Misalnya, berharganya nilai kesihatan dalam hidup akan benar-benar dirasai waktu ditimpa sakit. Kerana itu dikatakan bahawa ‘mahkota’ sihat hanya dapat dilihat oleh orang yang sakit.
“Kesihatan adalah ibarat mahkota yang terletak di atas kepala orang yang sihat, tetapi tiada yang dapat melihatnya kecuali orang yang sedang sakit”, demikian kata hukamak.
Baru terasa bahawa si isteri yang dianggap mempunyai banyak kelemahan atau kekurangan itulah yang menjadikan kehidupan suami lebih terurus. Dalam serba kekurangannya, si isteri itulah yang menjadi penyeri dan pelengkap dalam rumah tangga. Bila dia tiada di sisi, hilang segala seri. Terasa pincang perjalanan rumahtangga. Waktu itu baru terasa bahawa tidak patut isteri ini dimarah-marah kalau dia buat silap.
Sedikit ‘demerit’, kesalahan atau kealpaan yang dibuatnya tidak patut membuatkan suami lupa pada segala susah payah dan pengorbanannya. Dan sepatutnya isteri ini sentiasa diberi kalungan penghargaan. Sebab itu, Rasulullah s.a.w tetap mengenangkan Siti Khadijah selepas ketiadaannya walaupun baginda telah berkahwin dengan Siti Aisyah yang lebih muda, cantik dan cerdik.
“Ya Allah selamatkanlah suami kami, sejahterakanlah kesihatannya. Permudahkanlah urusannya dengan sesama manusia. Jadikanlah ia hamba yang sentiasa mendamba kasihnya kepadaMu ya Allah. Tautkanlah sepenuh kepercayaan dan amanah antara kami bersama. Panjangkanlah umur suami kami, juga umur kami agar sempat kami mendidik generasi kami menjadi insan soleh.”
Para suami...bukan mudah untuk kami menggadaikan maruah kalau bukan kepada kalian yang sah dinikahi. Pengorbanan ini hanya sanggup kami lakukan atas ikatan yang memang Allah muliakan...Ketahuilah para suami, gembiralah hati ini bila berlakunya perubahan pada diri biarpun terpaksa memual loya berbulan-bulan. Meskipun kami tahu diri akan bertarung dengan maut di saat melahirkan, namum detik itu dinanti-nantikan dengan penuh gembira. Apa tidaknya, sesekali berbonjol perut disenggul siku anak dalam kandungan terasa indahnya menyaksikan kejadian Tuhan...
Air mata kami mengalir bila ada suami yang saban pagi sepanjang tempoh berpantang mengusap wajah isteri dengan tuala suam panas sambil menghulurkan batu tungku, “Terima kasih di atas pengorbanan sayang...Terima kasih melahirkan anak kita.” Oh, alangkah bahagianya bila semua suami mengungkapkan kata-kata indah itu pada kami. Kalian rela membuangkan sejauh-jauhnya ego dan rasa malu dalam menutur bicara itu. Bukan kami mengharap dibalas emas berbungkal di atas pengorbanan ini tapi bisikan kasih, sayang itu cukup bererti buat kami.
Ya Allah... Terasa agungnya kebesaranMu tatkala para suami menadah tangan memohon keampunan di atas kelemahan-kelemahan isterinya, meredhai jodoh yang telah diamanah untuk dididiknya, mensyukuri nikmat dan harga sebuah kesabaran sepanjang hidup bersama...
|dipetik dari emel yang pakku terima
2 comments:
tqvm abang ats segala-galanya!May Allah shower His blessings on you and our family forever...Amiin..
wawawawa.. feeling gitu intan... semoga berbahagia hingga ke akhirnya.. aminn..
Post a Comment